Wisma Putra, Mindef tolong jangan diam lagi isu pencerobohan Laut China Selatan

Wisma Putra, Mindef tolong jangan diam lagi isu pencerobohan Laut China Selatan

Mukah: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Yakub Arbi melahirkan kebimbangan dengan sikap ‘berdiam diri’ kerajaan khasnya Wisma Putra dalam isu pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan, baru-baru ini.

Beliau dalam satu kenyataan media hari ini, isu pencerobohan sudah banyak di perkatakan khasnya wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun krisis tersebut dilihat semakin berlarutan.

Jelasnya, krisis ini sudah tidak boleh di pandang remeh dan sifat terlalu ‘menjaga hati’ segelintir pihak sudah perlu dielak bagi menangani pencabulan kedaulatan negara.

“Saya rasa ini tidak betul, semakin hari semakin risau saya dengan pendekatan China di ruang udara dan perairan kita di Laut China Selatan. Apakah kita semua tidak nampak?

“Sejak tahun 2021 lagi sudah ada laporan mendedahkan pesawat pejuang ‘Halimunan’ China, J-20 berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin.

“Tindak tanduk ini juga sebenarnya boleh menggugat aktiviti perkapalan dan nelayan. Nota bantahan perlu dilakukan melalui saluran diplomatik dengan segera.

“Di sini di Sarawak, kita boleh ambil pendekatan diplomatik secara proaktif agar China memahami kebimbangan para nelayan tempatan yang bergantung sumber rezeki laut. Fikirlah tentang rakyat kita juga, sehingga bila mahu kita berdiam diri seperti ini,” katanya.

Jelas Yakub, Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan perlu menggerakkan sebarang resolusi bagi mempertahankan kedaulatan tanah air khususnya keselamatan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Siri pencerobohan ruang angkasa dan maritim Borneo serta Pantai Timur Semenanjung yang berlaku selepas pandemik COVID-19 seolah-oleh memberi gambaran kerajaan tidak mempunyai pelan mitigasi dan pemulihan terhadap krisis ini yang cukup membimbangkan.

“Apa yang berlaku antara tentera udara China dan tentera kita memberi peringatan kepada kita tentang kesiapsiagaan negara kita untuk situasi seumpama ini. Adakah ini tidak membimbangkan kita?

“Sebenarnya Malaysia tidak bersendirian dalam pertikaian ini. Filipina, Vietnam dan Brunei semuanya telah mempertikaikan secara rasmi dalam konflik Laut China Selatan. Adalah jelas pendirian negara-negara ASEAN terhadap tindakan tidak berintegriti tentera China.

“Semua negara besar seperti China, Rusia, Amerika Syarikat perlu faham dan tidak sesekali ambil kesempatan dengan mengadakan latihan ketentaraan di Laut China yang begitu jelas boleh mengundang provokasi, ancaman keselamatan akhirnya di lihat seperti Zon Perang, “katanya.

Menurut beliau, pada hakikatnya semua pihak perlu saling hormat menghormati kedaulatan negara di rantau ini, dan rantau Laut China Selatan adalah sentiasa dalam keadaan aman dan selamat bagi kapal nelayan sebelum ini.

Untuk makluman juga, Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 (2018) telah memberi amaran melalui angka pencerobohan sebanyak 89 kali bermula 2016 hingga 2019.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|