Mangsa kemalangan parah meninggal dunia

Mangsa kemalangan parah meninggal dunia

Papar: Mangsa yang dilaporkan parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan 14 penumpang warga Indonesia di Jalan Kimanis-Keningau, di sini, disahkan meninggal dunia, malam tadi.

Mangsa lelaki berusia 21 tahun terbabit dilaporkan meninggal dunia pada jam 7.50 malam ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan, Hospital Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Saka berkata, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di dada dan kaki dalam kemalangan berkenaan.

Katanya, mangsa yang dibantu keluar dari kenderaan kemalangan oleh penumpang lain dikejarkan ke Hospital Papar bersama seorang lagi penumpang cedera menggunakan ambulans.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Papar dan akan dihantar ke unit forensik untuk proses bedah siasat selepas keputusan ujian Covid-19.

“Mangsa adalah seorang lelaki warganegara Indonesia,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, kenderaan van penumpang berkenaan dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu selepas menghadiri majlis kahwin di Keningau.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dilaporkan terbabas sendiri sebelum terbalik di tepi jalan berkenaan.

Seorang parah dan dua lagi cedera manakala selebihnya selamat tanpa sebarang kecederaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|