Pengaruh media sosial punca pelajar mudah terjebak – Shahelmey

Pengaruh media sosial punca pelajar mudah terjebak – Shahelmey

Kota Kinabalu: Kemunculan pelbagai aplikasi dalam talian, ruang sembang dan laman media sosial menimbulkan kebimbangan berhubung kesan penggunaan teknologi digital itu terhadap golongan muda, khususnya pelajar.

Perkara itu disuarakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dalam amanatnya kepada kira-kira 400 pelajar dari beberapa sekolah menengah di sekitar ibu negeri yang menghadiri program ‘Antara Cinta dan Cita-Cita’ di Dewan Sekolah Menengah (SM) All Saint, di sini, semalam.

Shahelmey bersama warga JHEWA, guru dan pelajar yang menghadiri program ‘Antara Cinta dan Cita-Cita’ di SM All Saint, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, ramai anak muda, termasuk pelajar pada zaman ini mudah terpengaruh hingga hanyut dalam arus teknologi dan terjebak dalam aktiviti tidak sihat yang akhirnya merosakkan diri mereka sendiri.

“Kerjasama ibu bapa, guru dan semua pihak perlu dalam memainkan peranan untuk membangunkan modal insan di Sabah dan Malaysia amnya. Mari bersama-sama membentuk generasi yang bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik, tetapi juga mempunyai sahsiah diri yang tinggi.

“Kepada pelajar, fokuslah kepada pelajaran untuk masa depan diri sendiri, keluarga dan negara. Cintakan diri sendiri dahulu dengan mengejar cita-cita anda,” katanya.

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) itu disertai pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam dari SM All Saints, SM Tinggi Kota Kinabalu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Likas, SMK Inanam, SMK Tebobon dan SMK Agama Kota Kinabalu.

Ia antara lain menekankan mengenai kepentingan mengenali, menghargai dan membina matlamat diri demi menjaga maruah bersesuaian dengan pembangunan sahsiah pelajar.

Objektifnya adalah untuk membina anak muda atau pelajar yang proaktif dan bersedia untuk membangunkan jati diri serta merancang kehidupan pada masa hadapan.

Shahelmey berkata, umum memahami bahawa ketika usia remaja, perasaan ingin tahu dalam diri seseorang berada pada tahap yang sangat tinggi.

“Tidak dinafikan juga pada usia inilah antara masa yang sesuai untuk pelajar mencuba sesuatu yang baharu bagi mengasah bakat dan mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam lagi.

“Namun, pelajar kena bijak membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang boleh dan tidak boleh. Terdapat perkara yang jika dilakukan akan mendatangkan kebaikan manakala ada juga perkara yang jika dilakukan akan merosak diri dan masa depan pelajar,” katanya.

Jelasnya, apabila bercakap mengenai cinta, ia sinonim diperkatakan dalam kalangan golongan muda kerana cinta adalah satu perasaan atau naluri manusia yang normal.

Bagaimanapun, katanya cinta dalam kalangan pelajar kini menimbulkan pelbagai isu sosial yang menjejaskan kehidupan seharian seperti kurangnya fokus kepada pelajaran, pergaulan bebas dan yang lebih membimbangkan apabila terlibat dengan hubungan terlarang sebelum berkahwin.

“Pelajar adalah aset yang berharga kepada negara dan kita perlu memiliki pelajar minda kelas pertama untuk membangunkan modal insan sejajar dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Salah satu cara untuk membangunkan modal insan ini ialah melalui ilmu pengetahuan dan inovasi. Pelajar perlu sedar mengenai peranan mereka sebagai seorang pelajar dan tanggungjawab kepada diri, keluarga serta negara.

“Fokus kepada pelajaran bukannya percintaan. Percintaan yang terlalu awal akan mempengaruhi penumpuan terhadap pelajaran dan lebih parah lagi ada yang terpaksa berhenti sekolah kerana cinta,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|