Dua penyamun menyamar sebagai polis ditahan

Dua penyamun menyamar sebagai polis ditahan

Semporna: Tindakan dua lelaki melakukan samun berkumpulan dengan menyamar sebagai anggota polis di sebuah rumah pekerja di Kampung Menteritip, Pegagau, membawa padah apabila dicekup, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, dua suspek berusia 48 tahun itu ditahan polis di Batu 2 Jalan Semporna-Tawau, di sini.

Peralatan yang dirampas polis dipercayai digunakan suspek bagi melakukan kegiatan menyamun di sebuah rumah pekerja di Kampung Menteritip, Pegagau, Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee berkata, tangkapan dibuat hasil daripada maklumat yang diterima berhubung kejadian itu.

“Kejadian samun itu berlaku kira-kira jam 5.11 petang Ahad lalu di mana seoran lelaki yang juga pekerja sebuah syarikat solar sedang berada dalam rumah berkenaan telah didatangi dua suspek dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Axia.

“Kedua-dua suspek menyamar sebagai anggota polis dengan menunjukkan gari kepada mangsa dan turut mengarahkannya keluar dari rumah berkenaan sementara suspek bertindak menggeledah rumah terbabit sebelum bertindak mengambil semua barang berharga termasuk wang tunai RM2,500 dan lima telefon bimbit milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lagi, hasil daripada maklumat pihaknya berjaya mengesan dan seterusnya menahan kedua-dua suspek terbabit.

“Hasil pemeriksaan, polis berjaya menemui sebuah kenderaan yang digunakan oleh suspek ketika melakukan rompakan selain gari
sebuah motosikal, tiga telefon bimbit dan kunci kereta daripada suspek.

“Turut ditemui dalam kenderaan suspek ialah pisau dan hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah,” katanya.

Mohd Farhan berkata, kedua-dua suspek ditahan reman bermula Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan jika disabit kesalahan.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|