Jangan amal politik wang dalam pemilihan WARISAN – Darell

Jangan amal politik wang dalam pemilihan WARISAN – Darell

Penampang: Ahli Parti Warisan (WARISAN) diingatkan supaya tidak mengunakan unsur politik wang ketika pemilihan parti sempena Perhimpunan Agung Tahunan WARISAN kali ini.

Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking berkata, walaupun tiada unsur politik wang dalam pemilihan parti itu dilaporkan setakat ini, namun peringatan mengenai perkara itu perlu bagi memastikan ia tidak berlaku.

“Jangan kita jadi macam ‘mereka’, itu saja. Sebab itu perlu ada peringatan, biarpun tiada unsur politik wang tetapi kita mesti beri peringatan.

“Mungkin ada yang teruja pada pemilihan kali ini dan mereka mungkin terikut atau terikat dengan cara parti-parti lain. Jadi saya nasihatkan jangan jadi sebahagian daripada ‘mereka’ dan jauhkan diri daripada politik wang.

“Saya percaya dalam WARISAN kita bersih dan jika ada dengar sesiapa berbuat demikian maklumkan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan persidangan dan pemilihan Wanita, Wira dan Wirawati sempena Perhimpunan Agung Tahunan WARISAN 2021 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, hari ini.

Bercakap mengenai persidangan itu, Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, ia sebagai persediaan untuk WARISAN menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kita tidak boleh nafikan ini adalah persediaan untuk pilihan raya akan datang seperti mana yang telah dipersetujui oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) yang dicadang Setiausaha Agung dan juga Presiden adalah bersepadu menuju pilihan raya.

“Kita sudah tiada masa, kerajaan kini, di mana UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bergaduh bila pilihan raya akan diadakan atau tiada.

“Perdana Menteri pula berada di tengah sama ada mahu atau tidak. Jadi kita mesti bekerja untuk mengadakan kempen untuk pilihan raya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|