Program The Fest X City ditangguh, penganjur mohon maaf

Program The Fest X City ditangguh, penganjur mohon maaf

Kota Kinabalu: Program The Fest X City yang sepatutnya berlangsung bermula esok hingga 2 September depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, terpaksa ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Susulan penangguhan itu, pihak penganjur Fest Organizer Solution memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pihak penganjur, objektif utama program itu adalah untuk memberi manfaat ekonomi kepada peniaga dan memberi hiburan yang sihat kepada pengunjung.

“Oleh kerana perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan, setelah meneliti secara menyeluruh, dengan berat hati pihak pengurusan telah membuat keputusan untuk menangguhkan penganjuran program ini.

“Pihak pengurusan memahami akan kekesalan yang timbul di kalangan pihak terlibat terutamanya peniaga-peniaga mahupun vendor yang terlibat. Kami juga amat terkesan dengan keputusan yang terpaksa diambil,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut berkata, penangguhan program itu adalah bagi memastikan kejayaan program berada pada tahap yang memuaskan dan memberikan manfaat kepada semua pihak.

“Namun, pihak pengurusan telah mengambil langkah untuk menangguhkan program ini atas tanggungjawab bagi menjaga kebajikan pihak yang terlibat terutama peniaga-peniaga dan memastikan kepuasan pengunjung pada tahap maksimum.

“Program ini akan dijadualkan semula pada 24 Disember ini hingga 1 Januari depan dan berlangsung di lokasi yang sama di SICC,” katanya.

Sehubungan itu, pihak pengurusan bersedia untuk mengembalikan semula bayaran yang telah dilaksanakan namun secara berperingkat.

“Pihak pengurusan bersedia untuk mengembalikan bayaran yang telah dilaksanakan dan pihak kami akan membuat bayaran balik secara berperingkat kepada semua pihak yang terlibat sama ada peniaga, vendor, pembeli tiket konsert dan sebagainya bermula 15 September hingga 15 Januari depan.

“Sekiranya vendor yang sedia ada ingin meneruskan penyewaan tapak pada 24 Disember hingga 1 Januari depan, yuran penyewaan tapak akan dikurangkan sebanyak 20 peratus kepada yang telah membayar deposit atau bayaran penuh sebelum ini.

“Pihak kami berharap agar segala persoalan telah terjawab dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada ‘Admin Fest’ di talian 010 944 0394,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|