Kerajaan utamakan jurutera dan perunding tempatan – Bung Moktar

Kerajaan utamakan jurutera dan perunding tempatan – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memberi keutamaan kepada jurutera dan perunding tempatan di negeri ini untuk menjadi perunding kepada projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata Sabah memiliki ramai jurutera dan firma perunding yang berkelayakan serta berkebolehan untuk menjadi perunding terhadap mana-mana projek yang ditawarkan oleh kerajaan negeri dan persekutuan jika mereka diberikan ruang dan peluang.

Bung Moktar menerima cendera kenangan daripada Razalie sambil disaksikan ahli jawatankuasa Persatuan Jurutera Perunding Malaysia Cawangan Sabah.

“Bagaimanapun kebanyakan projek kerajaan persekutuan, firma perundingnya dilantik terus dari Semenanjung dan sekiranya projek yang dilaksanakan bermasalah atau berlaku kelewatan, pihak jabatan atau agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak dapat melakukan sebarang tindakan atau arahan kerana ia dilantik terus oleh keraaan Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Jurutera Perunding Malaysia Cawangan Sabah di pejabat beliau, semalam.

Bung Moktar bersalaman dengan ahli jawatankuasa Persatuan Jurutera Perunding Malaysia Cawangan Sabah.

Kunjungan itu diketuai Pengerusi Jurutera Perunding Malaysia cawangan Sabah, Ir Razalie Sindong dan disertai Timbalan Pengerusi, Ir Chin Shu Ying; Setiausaha kehormat, Ir Benny Sing.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya negeri, Hanafiah Kassim.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata terdapat beberapa kes projek kerajaan persekutuan di negeri ini yang mana juru perundingnya dilantik terus dari Semananjung menghadapi masalah.

Bung Moktar bersama Hanafiah dan Razalie serta ahli jawatankuasanya Persatuan Jurutera Perunding Malaysia Cawangan Sabah.

“Contohnya pembinaan jambatan di jalanraya Bypass Libaran, Sandakan yang mana struktur jambatan yang dibina runtuh sebanyak tiga kali menyebabkan sehingga kini jalan raya itu tidak dapat digunakan.

“Kita tidak menafikan keupayaan jurutera atau juru perunding dari luar, tapi jika juru perunding tempatan kita lantik mereka lebih memahami struktur dan keadaan muka bumi di negeri ini dan jika berlaku sebarang masalah kita (kerajaan) khususnya Kementerian Kerja Raya dapat mengambil tindakan susulan sewajarnya,” katanya.

Bung Moktar menambah satu lagi kekangan bagi kerajaan khususnya kementerian beliau untuk melantik juru perunding tempatan ialah disebabkan kementerian itu belum mendapat pengiktirafan sebagai jabatan yang bertuliah.

“Perkara ini sewajarnya tidak berlaku kerana JKR Sabah telah wujud sekian lama dan memiliki ratusan jurutera yang bertauliah serta berpengalaman untuk mengendalikan sesuatu projek pembangunan,” katanya.

Perkara itu, katanya telahpun dibangkitkan kepada Kementerian Kerja Raya persekutuan dan pihaknya telah menerima surat pada awal Julai lalu untuk memulakan perbincangan libat urus bagi menjadikan JKR Sabah diiktiraf sebagai jabatan yang bertauliah.

“Kita berharap hasil perbincangan ini positif kerana dengan pentauliahan ini kita bukan sahaja diberikan kuasa memantau projek persekutuan di negeri ini tapi diberikan kuasa untuk melantik juru perunding dan sudah tentu kita akan memberikan keutamaan kepada juru perunding tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika perjumpaan berkenaan, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut mengambil maklum segala isu yang dibangkitkan Persatuan Jurutera Perunding Malaysia Cawangan Sabah yang kini mempunyai 47 ahli Jurutera Perunding untuk diberikan perhatian dan tindakan sewajarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|