Mangsa kebakaran mohon bantuan rumah

Mangsa kebakaran mohon bantuan rumah

Tawau: Tolonglah bantu kami sekeluarga agar ada rumah untuk berteduh selepas ini. Itu antara luahan hati mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, yang musnah terbakar dalam kejadian, semalam.

Mangsa Anang Bodek, 75, salah seorang warga emas yang menjadi mangsa kebakaran amat berharap ada yang akan pihak tampil membantu.

Katanya, mereka sekeluarga tidak lagi dapat menahan kesedihan memandangkan bulan ramadan bakal tiba kurang dari sebulan.

“Kalau boleh pihak berkenaan tolonglah bantu, berikan kami tempat tinggal supaya kami boleh berpuasa dengan selesa semasa bulan ramadan nanti.

“Kami sudah tidak tahu, apalah nasib kami sekeluarga selepas ini,” katanya ketika ditemui di pusat penempatan sementara mangsa-mangsa kebakaran, hari ini.

Sobri Bakri, 34

Seorang lagi mangsa, Sobri Bakri, 34, berkata, mereka sekeluarga masih trauma dengan kejadian yang dalam sekelip mata.

Katanya, dia dan tujuh anaknya kini terlalu sedih sehinggakan tidak dapat makan berikutan masih terngiang-ngiang dengan tragedi berkenaan.

“Kami sekeluarga tidak dapat makan kerana trauma dengan kejadian itu dan berharap pihak berwajib segera menghulurkan bantuan,” katanya.

Nurul Wahida Tersu, 24

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Nurul Wahida Tersu, 24, berkata, dia masih lagi hidup dalam ketakutan.

Ibu satu anak itu berkata, kejadian yang menimpa mereka sekeluarga bagaikan mimpi ngeri yang amat menakutkan.

“Ketika kejadian, orang ramai berteriak kebakaran, kami pun kelam kabut sebab rumah sudah terlalu hampir dengan api kebakaran.

“Kami hanya mampu untuk terus berlari untuk menyelamatkan diri dengan rasa ketakutan.

“Apa yang satu fikirkan hanya membawa anak dan adik lari ke tempat selamat bersama dokumen penting,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|