Bekas guru dipenjara 7 tahun, sebat kes amang seksual pelajar

Bekas guru dipenjara 7 tahun, sebat kes amang seksual pelajar

Sandakan: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan terhadap seorang bekas guru disiplin sekolah menengah kerana melakukan amang seksual terhadap pelajar perempuan, tiga tahun lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faiz Ismail, 33, selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan terhadap pelajar perempuan yang ketika kejadian berusia 17 tahun 11 bulan.

Bagi kesalahan itu, guru terbabit didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh disebat.

Mengikut pertuduhan, pada Julai 2019, jam 7 pagi bertempat di bilik kaunseling sebuah sekolah menengah di Sandakan, guru terbabit didapati melakukan amang seksual.

Menurut fakta kes, tertuduh memanggil mangsa masuk ke sebuah bilik lalu mengarahkan mangsa mengunci bilik berkenaan.

Tertuduh kemudian mengarahkan mangsa duduk di atas sebuah kerusi sebelum menghampirinya.

Tertuduh didakwa merampas telefon bimbit mangsa dan memeriksa telefon itu selain bertanya sama ada mangsa pernah melakukan hubungan seks menyebabkan mangsa terkejut.

Tidak terhenti di situ, guru disiplin bertanya kepada mangsa sama ada berminat untuk melakukan hubungan seks bersamanya.

Lalu tertuduh menghampiri dan melakukan amang seksual sebelum mangsa menepis tangan tertuduh dan melarikan diri.

Terdahulu, pendakwaab dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto manakala tertuduh diwakili peguam Hamid Ismail.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|