Hajiji sokong usaha tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

Hajiji sokong usaha tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menyokong penuh usaha untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak kepada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen seluruh negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya akan meneruskan usaha seperti yang dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

“Kita sokong untuk dapat lebih kerusi kerana bila Sabah, Sarawak bentuk Malaysia bersama ini antara yang dipersetujui untuk wilayah Malaysia Timur dapat kerusi Parlimen sekurang-kurangnya satu pertiga.

“Jadi kita akan teruskan usaha seperti yang dinyatakan oleh Maximus,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Gabungan Rakyat Sabah (GRS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung cadangan supaya tambahan kerusi Parlimen dibincangkan secara terbuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, Maximus berkata, perkara itu sudah pun beliau bahas di dalam Parlimen.

“Saya sudah sentuh di Parlimen, pada 1963, 35 peratus kalau Sabah, Sarawak, Singapura dan selebihnya 65 peratus di Malaya (Semenanjung).

“Tetapi bila Singapura keluar, 15 peratus kerusi diambil Malaya 74-75 peratus dan bila ada semakan, hampir 22 hingga 25 peratus kekosongan.

“Saya pernah sebagai pengerusi jawatankuasa pilihan khas di mana Parlimen luluskan pada masa itu dan Azmin (Datuk Seri Azmin Ali) sokong supaya kembali kepada asal tetapi ia ditangguh sebab mesti di bawa di DUN,” katanya.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu menegaskan bahawa DUN Sabah dan Sarawak harus menyokong dan membahaskan perkara itu dalam sidang DUN.

“Saya cakap semalam DUN Sabah, Sarawak kena sokong dan bahaskan untuk kuatkan lagi untuk desak perkara ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|