Mangsa kebakaran di Kampung Landung Ayang ditempatkan di PPS

Mangsa kebakaran di Kampung Landung Ayang ditempatkan di PPS

Kudat: Seramai 380 penduduk yang terjejas akibat kebakaran di perkampungan atas air Kampung Landung Ayang, di sini, semalam, ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Tun Mustapha.

Jumlah itu membabitkan 72 keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas 179 rumah yang mereka diami musnah dalam kebakaran terbabit.

Keadaan rumah di perkampungan atas air di Kampung Landung Ayang, Kudat, selepas kejadian kebakaran yang berlaku pada Rabu. Video Ihsan APM

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, semua mangsa dipindahkan selepas PPS dibuka pada jam 10 malam tadi.

Menurut laporan itu lagi, pihak Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) masih giat melakukan pendaftaran kepada mangsa yang terjejas dalam kebakaran itu.

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) memaklumkan masih ada mangsa yang belum berdaftar disebabkan trauma dan ada mangsa yang tinggal bersama ahli keluarga terdekat buat sementara waktu.

Sebelum itu, laporan akhir daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan sebanyak 179 rumah musnah dalam kejadian itu.

Operasi memadamkan kebakaran berakhir pada jam 8.17 malam dan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|