Lelaki maut, kereta rempuh lori kontena

Lelaki maut, kereta rempuh lori kontena

Ranau: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang sebuah lori kontena dalam kejadian di Kampung Kilimu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa Eldeon Benedick, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit akibat kemalangan berkenaan. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.40 pagi.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya dilokasi kejadian, pasukan operasi mendapati pemandu Toyota Harrier tersepit dan perlu dibantu untuk dikeluarkan pasukan bomba.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pasukan operasi terus menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.29 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|