Tiada keperluan segera ikut langkah Sarawak

Tiada keperluan segera ikut langkah Sarawak

Kota Kinabalu: Tiada keperluan segera bagi Sabah mengikut langkah Sarawak dengan menukar gelaran ketua kerajaan daripada Ketua Menteri kepada Premier, kata Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee.

Katanya, terdapat lebih banyak isu penting untuk diteruskan seperti mendapatkan semula hak Sabah yang hilang di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Mendapatkan kuasa autonomi adalah lebih penting daripada pertukaran nama.

“Kita (Sabah) harus meneruskan peralihan kuasa untuk item di bawah persekutuan, senarai sejajar ke senarai negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bagaimanapun, Teck Lee berkata perubahan perlembagaan pertama Sabah sepatutnya adalah mengembalikan semula panggilan Yang di-Pertua Negeri kepada Yang di-Pertua Negara yang ditukar pada 1976.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, kembali kepada gelaran asal ketua negara akan mencerminkan Sabah sebagai sebuah negara yang menyertai persekutuan Malaysia.

Mengulas berhubung langkah Sarawak menggunakan istilah ‘Premier’, beliau berkata penggunaan istilah baharu itu perlu dijelaskan.

“Satu persoalan segera ialah apakah istilah Bahasa Malaysia untuk ‘Premier’?

“Premier adalah ketua kerajaan dalam negara yang tidak mempunyai raja. Saya rasa Sabah dan Sarawak juga layak.

“Tetapi ‘perdana menteri’ adalah gelaran ketua kerajaan yang mempunyai raja. Perkara ini perlu dijelaskan sepenuhnya sebelum gelaran ‘Premier’ digunakan,” katanya.

Teck Lee berkata, persoalan itu tidak akan timbul bagi Melaka dan Pulau Pinang kerana mereka seperti negeri yang mempunyai Menteri Besar tidak mempunyai Kabinet tetapi hanya Exco.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|