Tuntutan lima dekad kenaikan geran tahunan Sabah akhirnya tercapai

Tuntutan lima dekad kenaikan geran tahunan Sabah akhirnya tercapai

Kota Kinabalu: Semakan kewangan dan geran tahunan yang dituntut Sabah sejak lima dekad lalu akhirnya tercapai hasil persetujuan bersama rundingan di antara kerajaan negeri dan persekutuan, baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata pencapaian itu sekali gus membolehkan Sabah menerima peningkatan hampir lima kali ganda dalam geran tahunan.

Katanya, jumlah yang dipersetujui itu juga dua kali ganda lebih besar berbanding yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) sebelum ini.

“Ini membuktikan keupayaan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam mempertahankan hak Sabah dan memelihara hubungan baik persekutuan – negeri bagi memastikan kemakmuran bersama untuk rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, berkata Kementerian Kewangan persekutuan dan negeri sudah memberi taklimat kepada Kabinet masing-masing mengenai hasil perundingan yang dicapai ketika mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) sebelum ini.

“Mesyuarat itu mengenai semakan kewangan dan geran tahunan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan di antara Kementerian Kewangan persekutuan dan negeri dan difahamkan kedua-dua pihak menyokong semua resolusi,” katanya.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di pihak kerajaan persekutuan, manakala Menteri Kewangan II Sabah Datuk Masidi Manjun mengetuai pasukan Sabah.

Turut serta dalam perbincangan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof serta penasihat undang-undang dan pegawai kanan kewangan negeri.

Maximus turut hadir pada mesyuarat di Kota Kinabalu bagi pihak Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) pada Isnin lalu.

Beliau berkata, kejayaan tuntutan Sabah itu menggambarkan kesungguhan dan kerja keras kerajaan negeri dalam memperjuangkan hak negeri dan rakyat, walaupun terpaksa menunggu selama lima dekad.

Tambahnya, formula geran baharu itu akan ditandatangani dan dirasmikan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada mesyuarat MKMA63 yang dijadualkan awal bulan depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|