Semporna: Lelaki yang dikhuatiri hilang dibaham buaya ketika memancing di Sungai Pegagau, di sini, semalam masih belum ditemui.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua hari ini ditangguh pada jam 4.10 petang tadi.

Katanya, operasi SAR hari kedua bermula jam 7.01 pagi dengan kaedah water surface menggunakan bot penyelamat.
“Operasi SAR yang memasuki hari kedua dijalankan dengan menyusuri muara Sungai Pegagau dengan jarak tiga kilometer dari lokasi mangsa dibaham buaya.
“Bagaimanapun mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR ditangguh pada 4.10 petang tadi dan akan disambung semula pada esok pagi.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian 3 petang semalam, mangsa Azman Tugau, 35, dikatakan memancing bersama sepupunya di pinggir sungai berkenaan tanpa menggunakan bot.
Tiba-tiba mangsa dibaham buaya dan sepupunya berjaya melarikan diri, kemudian melaporkan kejadian kepada polis.
-Deasoka