Rumah dihempap pokok tumbang, dua cedera

Rumah dihempap pokok tumbang, dua cedera

Kota Kinabalu: Dua wanita cedera ringan selepas rumah mereka di Kampung Unggun Jaya, Manggatal, di sini, dihempap pokok, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 20-an dilaporkan mengalami kecederaan di bahu dan kaki.

Pasukan bomba memotong dahan pokok untuk dialihkan ke tempat selamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.03 petang.

Katanya, seramai 12 pegawai dan anggota bersama dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Dalam kejadian itu, sebatang pokok tumbang dan menghempap dapur rumah yang menyebabkan kerosakan pada bahagian bumbung dapur.

“Pasukan Bomba terus bertindak memotong dahan pokok dan seterusnya dialihkan ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, dua mangsa yang mengalami kecederaan ringan terus diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.15 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|