Kota Kinabalu: Pakatan Harapan (PH) Sabah mengambil pendirian terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk berkaitan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusinya, Datuk Christina Liew berkata, kerjasama itu tidak semestinya dengan Parti Warisan (Warisan) malah dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi memastikan blok pembangkang memenangi lebih banyak kerusi pada PRU-15.
“Perpaduan dalam kalangan parti pembangkang sangat penting, termasuklah dengan Muda.
“Saya percaya, kami mampu bekerjasama dengan semua komponen parti dalam PH Sabah bagi menghadapi PRU-15, begitu juga dengan Muda. Ini termasuk soal pembahagian kerusi,” katanya selepas tinjauan mesra di Jalan Gaya, di sini, semalam.
Menurut Ahli Parlimen Tawau itu, melalui kerjasama yang padu sahaja mereka mempunyai peluang besar untuk memenangi lebih banyak kerusi pada PRU-15.
Katanya, jika mereka berpecah, sasaran memenangi lebih banyak kerusi tidak mampu dicapai.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api berkata, pembahagian kerusi di Sabah tidak akan menjadi masalah kepada komponen PH.
“Ini kerana setiap pemimpin parti komponen sedia berbincang dengan baik sebelum turun ke ‘medan perang’,” katanya.
Katanya, parti tempatan atau nasional tidak harus menjadi isu kerana pada akhirnya kerjasama dengan kerajaan persekutuan tetap diperlukan bagi mendapatkan peruntukan kewangan.
-Deasoka