Polis lepas tembakan, elak dirempuh pengedar dadah

Polis lepas tembakan, elak dirempuh pengedar dadah

Sandakan: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dipandu seorang lelaki dipercayai pengedar dadah selepas dia cuba merempuh anggota polis ketika serbuan di sebuah kawasan perumahan di Jalan Sungai Manila, Batu 12, di sini, hari ini.

Rakaman video berdurasi 30 saat mengenai kejadian itu turut tular di media sosial menyebabkan pihak polis tampil menjelaskan situasi yang berlaku dalam serbuan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kejadian itu membabitkan lima anggotanya yang cuba menahan kenderaan suspek yang juga pengedar dadah.

Katanya, kejadian berlaku di kawasan parkir dan suspek bertindak agresif sehingga hampir merempuh seorang anggota serbuan.

“Keadaan itu memaksa anggota polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar untuk menghentikan kenderaan berkenaan daripada melakukan rempuhan.

“Anggota lain pula cuba menghentikan kenderaan itu dengan cuba memecahkan cermin hadapan dengan menggunakan alat ‘walkie talkie’ sehingga menyebabkan terdapat kesan hentakan pada cermin terbabit namun kenderaan itu berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, pasukan polis kemudian berjaya mengesan kenderaan itu di tepi jalan iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Usaha mengesan suspek giat dilakukan dan siasatan sedang dikalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat Asistan Superintenden (ASP) Jas Dewd di talian 013-3598455,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|