Kes rompakan Taman Regent, tiga suspek diburu

Kes rompakan Taman Regent, tiga suspek diburu

Kota Kinabalu: Polis daerah ini melancarkan usaha memburu tiga suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian rompakan di Taman Regent, Luyang, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada jam 3.25 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah

Katanya, kejadian disedari penghuni apabila menemui seorang lelaki tidak dikenalinya berada di dalam rumahnya.

“Suspek terus meluru keluar dan cuba melarikan diri namun dihalang sehingga berlaku pergelutan dengan mangsa.

“Suspek akhirnya berjaya melarikan diri sebelum beredar dengan menaiki sebuah kereta pacuan empat roda jenis Nissan Navara dengan nombor pendaftaran ST1828 yang disyaki palsu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, anggaran kerugian dalam kejadian ini dianggarkan kira-kira RM1,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera tampil bagi membantu siasatan polis.

Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Palani Nathan di talian 016-4122835.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|