Lelaki ugut keluarga ditahan

Lelaki ugut keluarga ditahan

Tawau: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mengancam dan membuat ugutan jenayah terhadap ahli keluarganya sendiri.

Lelaki warga asing berusia 30-an itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pisang, di sini, kira-kira jam 6 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek turut merosakkan barang-barang di dalam rumah dengan anggaran kerugian bernilai RM300.

“Suspek adalah seorang warga asing dan didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

“Suspek terus dibawa balik ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan hasil semakan yang dijalankan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jasmin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|