Mangsa banjir meningkat kepada 1,249 orang petang ini

Mangsa banjir meningkat kepada 1,249 orang petang ini

Kota Kinabalu: Mangsa banjir di Sabah terus mencatat peningkatan dengan seramai 1,249 mangsa ditempatkan di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 5 petang ini berbanding 1,161 orang di 14 PPS tengah hari tadi.

Berdasarkan laporan terkini Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pitas menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan seramai 10 mangsa dipindahkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Salimpodon, setakat ini.

Jurucakap APM Sabah berkata, ia menjadikan sebanyak 15 PPS dibuka setakat ini yang menempatkan seramai 1,249 mangsa banjir daripada 432 keluarga.

“Mangsa banjir di Kota Marudu semakin bertambah dengan jumlah keseluruhan seramai 1,019 mangsa dan empat lagi PPS turut dibuka hari ini iaitu Bangunan Rukun Tetangga Salimandut (33 mangsa), Dewan Sekolah Menengah (SM) Advent Gohsen (183), Sekolah Rendah Agama (SRA) Damai (14) dan Dewan Longob (143).

“Sementara itu, jumlah mangsa bagi tiga PPS sedia ada di Kota Marudu iaitu Dewan SK Teritipan dan Dewan SMK Tandek kekal dengan seramai 251 mangsa dan 253 mangsa manakala di Dewan St Theresa meningkat kepada 142 mangsa,” katanya.

Katanya, sebuah lagi PPS di Telupid turut dibuka iaitu Dewan Kampung Bauto membabitkan tiga mangsa manakala dua PPS sedia ada iaitu Dewan Kampung Bakong-Bakong (lima mangsa) dan Dewan Kampung Rancangan Nangoh (22).

Selain itu, di Beluran seramai 38 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Kampung Balaban Jaya, mabakala di Sandakan seramai 61 mangsa di tempatkan di PPS Masjid Nur Iman Sungai Memanjang.

Di daerah kecil Paitan, dua PPS dibuka setakat ini yang menempatkan seramai 15 mangsa iaitu di PPS SMK Pamol dan 37 mangsa lagi di PPS Dewan Kampung Binsulung.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|