Pasukan keselamatan digerakkan bantu mangsa banjir

Pasukan keselamatan digerakkan bantu mangsa banjir

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengarahkan pasukan keselamatan untuk turun ke kawasan dilanda banjir selain diminta bersiap sedia di semua kawasan berisiko tinggi banjir di Sabah bagi membantu mangsa.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri turut menyegerakan bantuan makanan kecemasan untuk diagihkan kepada mangsa oleh agensi yang diberi tanggungjawab.

Katanya, langkah itu diambil berikutan situasi banjir disebabkan hujan lebat berterusan di lima daerah yang setakat tengah hari tadi membabitkan 1,161 mangsa daripada 399 keluarga dipindahkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya menasihatkan orang ramai di Sabah supaya berwaspada berikutan cuaca buruk yang ketika ini menyebabkan banjir di lima daerah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) setakat ini mengaktifkan 14 PPS, iaitu tujuh di Kota Marudu, diikuti Telupid (tiga), Paitan (dua) dan masing-masing satu PPS di Beluran serta Sandakan.

Hajiji turut memberi jaminan aspek keselamatan rakyat diberikan keutamaan tertinggi oleh kerajaan, namun katanya rakyat juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kerajaan negeri juga akan memastikan semua agensi di seluruh negeri bersiap sedia untuk mengambil tindakan apabila perlu,” katanya.

Pada 29 Disember lalu, Hajiji mengarahkan semua jawatankuasa pengurusan bencana diaktifkan berikutan cuaca buruk di kawasan utara dan pantai timur Sabah seperti diramalkan Jabatan Meteorologi (Met) Malaysia.

Katanya, beliau juga akan menghadiri mesyuarat khas Pasukan Petugas Pengurusan Bencana Banjir Monsun Timur Laut secara maya yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, esok.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|