Mangsa banjir, air pasang besar melepasi paras 1,000 orang

Mangsa banjir, air pasang besar melepasi paras 1,000 orang

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa terjejas banjir dan air pasang besar kini mencecah 1,149 orang daripada 284 Ketua Isi Rumah (KIR), setakat jam 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan bahawa Sandakan menjadi daerah terbaru terkesan susulan fenomena air pasang besar, dengan 162 mangsa daripada 29 KIR direkodkan.

Menurutnya, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) baru dibuka di Dewan Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2, bagi menempatkan kesemua mangsa-mangsa yang terkesan akibat fenomena berkenaan.

“Setakat pagi ini, daerah Pitas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan seramai 721 orang daripada 163 KIR. Kesemua mangsa ditempatkan di enam PPS yang beroperasi di daerah ini.

“Antaranya ialah Balai Raya Agropolitan Kampung Pinggan-Pinggan (277 mangsa), Dewan Kampung Mempakad (163 mangsa), dan Dewan Terbuka Kampung Rosob (156 mangsa).

“Selain itu, ialah Gereja SIB Kg Luntuk (79 mangsa), Dewan SMK Pinggan-Pinggan (33 mangsa) dan Dewan Terbuka Kampung Salimpodon (13 mangsa),” katanya dalam sebuah kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Kota Belud mencatatkan seramai 212 mangsa daripada 77 KIR, manakala Kota Kinabalu mencatatkan seramai 54 mangsa daripada 15 KIR.

“Terdapat dua PPS yang aktif di Kota Belud, iaitu Dewan SJK (C) Chung Hwa (150 mangsa) dan Dewan SK Pekan (62 mangsa).

“Manakala, di Kota Kinabalu hanya terdapat satu PPS yang aktif iaitu Dewan Muhibbah Sembulan yang menempatkan seramai 54 mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, trend semasa situasi banjir dan air pasang besar masih menunjukkan peningkatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|