105 rumah roboh susulan fenomena air pasang besar di Sandakan

105 rumah roboh susulan fenomena air pasang besar di Sandakan

Sandakan: Sebanyak 105 rumah dilaporkan roboh dipukul ombak ketika fenomena air laut pasang besar berlaku di dua kampung di daerah ini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, lebih 200 mangsa dilaporkan terjejas membabitkan Kampung Forest dan Kampung Tinusa Dua.

Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di Kampung Forest, Sandakan.

Semua mangsa yang terjejas kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kebangsaan (SMK) Sungai Anib Dua.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, dianggarkan 100 rumah roboh di Kampung Forest.

Katanya, sebanyak 500 rumah lain turut terancam dalam kejadian berkenaan.

“Lima rumah turut roboh di Kampung Tinusa Dua dan 20 lagi dilaporkan terancam.

“Namun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tindakan pemantauan masih dijalankan oleh anggota bomba di Kampung Forest.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa manakala di Tinusa Dua paras air mulai surut dan penghuni kembali semula ke rumah masing-masing.

“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi di Kampung Tinusa Dua ditamatkan pada 1.45 pagi tadi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|