Lelaki hilang di Sungai Lingkabau ditemukan lemas

Lelaki hilang di Sungai Lingkabau ditemukan lemas

Beluran: Lelaki warga emas yang hilang ketika keluar untuk mendapatkan barang keperluan dapur dalam kejadian di Sungai Lingkabau, Sugut, di sini, Jumaat lalu, ditemukan lemas hari ini.

Mayat Gontawas Ellang, 69, ditemukan pasukan polis dan orang awam jam 11.35 pagi kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima maklumat awam, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran ke lokasi penemuan.

“Sebaik tiba, mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan jam 3.30 petang,” katanya.

Dalam kejadian, Jumaat lalu, mangsa dikhuatiri lemas selepas hilang ketika keluar untuk mendapatkan barang keperluan dapur dengan menaiki perahu di Sungai Lingkabau, Sugut, di sini.

Kehilangan mangsa terbabit dilaporkan isterinya selepas mangsa tidak pulang ke rumah semalaman sejak keluar dari rumahnya jam 8 pagi, di Kampung Panindakan Paitan, di sini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|