Teruskan siasatan secara menyeluruh – Hajiji

Teruskan siasatan secara menyeluruh – Hajiji

Kudat: Pasukan keselamatan di negeri ini digesa supaya menyiasat secara terperinci dan menyeluruh dakwaan berhubung kehadiran kumpulan bersenjata di Lahad Datu, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, siasatan perlu diteruskan walaupun setakat ini tiada sebarang petunjuk dapat membuktikan kehadiran penceroboh terbabit di negeri ini.

“Saya sudah diberikan taklimat mengenai kes itu oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berhubung dakwaan berkenaan.

“Namun, setakat ini tiada sebarang petunjuk mengenai dakwaan penceroboh di Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki mendakwa melihat lebih 10 individu mencurigakan berpakaian celoreng serta bersenjata masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan, minggu lalu.

Lelaki berkenaan turut mendakwa semua individu terbabit adalah warga Filipina berdasarkan perbualan mereka yang menggunakan bahasa Suluk.

Sementara itu, Hajiji menggesa orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19 berikutan lonjakan jangkitan baharu yang dikesan sejak semalam.

“Mengikut statistik terbaharu, jumlah kes Covid-19 di Sabah melonjak kepada 1,209, semalam selepas mencatatkan jumlah di bawah 500 kes sepanjang bulan lalu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|