Jalan menghubungkan KK-Kudat sudah dibuka semula

Jalan menghubungkan KK-Kudat sudah dibuka semula

Kota Belud: Jalan di Kilometer 96.7 di Kampung Pendasan yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Kudat dibuka semula kepada pengguna jalan raya selepas laluan itu terpaksa ditutup berikutan pokok tumbang pada tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, laluan dari kedua-dua arah terhalang akibat pokok yang tumbang di jalan berkenaan.

Anggota daripada pelbagai agensi membantu melakukan kerja pembersihan pokok tumbang di Kilometer 96.7 di Kampung Pendasan, Kota Belud.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berhubung kejadian itu dan setakat jam 10.30 pagi tadi satu lorong sudah dibuka untuk laluan pengguna jalan raya.

“Bagaimanapun, setakat jam 12.30 hari ini, kedua-dua laluan sudah dibuka sepenuhnya dan boleh dilalui pengguna jalan raya dari kedua-dua arah selepas kerja pembersihan pokok berkenaan dilakukan oleh pelbagai agensi di daerah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung keadaan jalan berkenaan terhalang apabila sebatang pokok yang besar tumbang dan kedua-dua laluan terhalang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|