Covid-19: Wad Covid-19 Hospital Duchess Of Kent hampir penuh

Covid-19: Wad Covid-19 Hospital Duchess Of Kent hampir penuh

Sandakan: Jumlah pesakit yang dimasukkan ke wad Covid-19 di Hospital Duchess Of Kent (HDOK), di sini mencecah 85 peratus daripada kapasitinya.

Pengarah HDOK, Dr Francis Paul berkata, secara keseluruhan, sebanyak 71 katil disediakan di hospital itu untuk individu yang menghidap Covid-19.

Katanya, peningkatan mendadak kes kebelakangan ini menyebabkan penggunaan katil di wad Covid-19 itu melonjak dengan pantas.

“Sangat tinggi, lebih kurang 85 peratus dan kita memberi ruang kepada pesakit yang lebih tenat untuk dimasukkan ke wad ini iaitu mereka yang berada dalam Kategori 3 hingga 5 sebab ini yang memerlukan perhatian lebih rapi,” katanya pada sidang media selepas tinjauan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Kompleks Sukan Sandakan, di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah kesesakan di wad, pihaknya mengambil inisiatif menjadikan Dewan Rafflesia di Kolej Kejururawatan Sandakan yang bersebelahan dengan HDOK sebagai wad Covid-19 dengan sebanyak 40 katil disediakan ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu masih tidak mampu menampung kehadiran individu yang dilaporkan positif Covid-19 di daerah ini.

Susulan itu, beliau berkata pada 3 Februari lalu, pihaknya mengaktifkan semula PKRC Dewan Kompleks Sukan Sandakan dengan menyediakan 30 katil dan kini ditingkatkan lagi kepada 100 katil.

Sementara itu, Dr Francis berkata, kes Covid-19 di daerah ini dijangka terus naik dalam masa terdekat.

Beliau berkata, sebagai persediaan, pihaknya akan menambah jumlah katil di PKRC Dewan Kompleks Sukan Sandakan ke tahap maksimum sehingga lebih 200 katil.

“Asrama Kompleks Sukan Sandakan yang sebelum ini pernah dijadikan PKRC juga akan dibuka semula jika kes semakin meningkat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap keadaan Covid-19 di Sandakan tidak sampai ke tahap itu.

Beliau juga menasihatkan masyarakat Sandakan agar segera mendapatkan vaksin Covid-19 dan suntikan dos penggalak.

Sandakan merekodkan kes Covid-19 tertinggi di Sabah dengan sebanyak 230 kes semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|