Kami tidak pernah bertelagah – Hajiji

Kami tidak pernah bertelagah – Hajiji

Kudat: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menolak khabar angin yang mengatakan hubungannya dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan beberapa pemimpin tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) retak.

Beliau sebaliknya menegaskan hubungannya dengan Bung Moktar dan semua pemimpin GRS adalah baik selain menjelaskan bahawa mereka sentiasa berhubung antara satu sama lain selaku pemimpin dalam gabungan berkenaan.

“Saya akan nyatakan dengan jelas, memandangkan Datuk Bung ada di sini, kami tidak pernah bertelagah (antara satu sama lain). Tidak pernah berlaku salah faham walaupun orang lain cakap pasal kami,” katanya pada penutupan Pemukiman Kelab Backbenchers GRS di Kudat Golf dan Marina Resort, di sini, malam tadi.

Program itu turut dihadiri Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri.

Hadir sama ialah Pengerusi Kelab Backbencher GRS, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Arifin Arif; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS menjelaskan hubungannya dengan Bung Moktar dan pemimpin lain termasuk Preaiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan sangat mesra dan semakin kuat.

“Walaupun kita datang daripada parti yang berlainan, kita tegas dengan ikrar GRS. Dengan (penjelasan) ini, saya berharap tidak akan ada lagi cakap-cakap yang Hajiji tidak baik dengan Bung atau Dr Max dan Dr Jeffrey,” katanya.

Katanya, beliau juga sentiasa berhubung dengan Bung Moktar dan sepakat untuk melindungi mandat yang diberikan oleh rakyat kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Katanya, dengan tempoh kerajaan sekarang kira-kira empat tahun lagi sebelum pilihan raya akan datang, tumpuan harus diberikan kepada usaha dan bekerja keras untuk membawa kemajuan demi kepentingan rakyat Sabah.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, berkata beliau memahami bahawa beliau tidak akan menjadi Ketua Menteri tanpa sokongan padu daripada pelbagai pihak dalam GRS.

“Saya faham perkara ini. Oleh itu kita perlu bekerja keras untuk rakyat. Juga tidak perlu berebut kerusi. Kita boleh selesaikan dengan melihat kekuatan parti masing-masing. Jika parti itu kuat dalam sesebuah kawasan maka kerusi akan diberikan,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Hajiji berkata perkara berkaitan calon akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin GRS untuk mencari penyelesaian secara baik setelah perintah darurat untuk kawasan berkenaan ditarik balik.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pendaftaran GRS sebagai gabungan politik rasmi, Hajiji berkata beliau tidak ragu-ragu jika perkara itu dipersetujui oleh semua komponen dalam GRS.

“Jika ini yang diinginkan oleh semua orang, maka saya akan berusaha untuk memastikan GRS didaftarkan secara rasmi,” katanya.

Hajiji juga percaya dengan mendaftarkan GRS sebagai pakatan rasmi ia akan mengukuhkan lagi hubungan dan perpaduan dalam kalangan parti komponennya.

Pada masa ini, GRS adalah satu gabungan longgar yang dibentuk bagi menghadapi PRN Sabah pada September 2020 menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Selain BERSATU, PN Sabah dianggotai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan PAS, manakala BN Sabah merangkumi UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA dan MIC.

Gabungan berkenaan memenangi PRN Ke-16 selepas memperolehi 41 daripada 73 kerusi dengan menumbangkan WARISAN Plus yang terdiri daripada WARISAN, UPKO, PKR dan DAP yang hanya memenangi 32 kerusi.

Selepas pembentukan kerajaan negeri, GRS memperoleh tambahan enam kerusi melalui enam Ahli Dewan Undangan (ADUN) Dilantik sebelum lima ADUN pembangkang keluar parti dan menyatakan sokongan kepada GRS menjadikan 52 jumlah keseluruhan kerusi yang dimiliki gabungan itu ketika ini.

Hajiji berkata, peningkatan sokongan terhadap GRS itu menguatkan lagi gabungan berkenaan selain menjadikan rakyat kini lebih yakin terhadap kerajaan negeri.

Beliau turut mengakui kerajaan negeri GRS berdepan tugas berat pada permulaan pentadbirannya berikutan penularan pandemik Covid-19 dan ketidaktentuan politik di peringkat Persekutuan.

Katanya, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyekat penganjuran acara awam termasuk majlis rasmi kerajaan, menyebabkan kerajaan negeri yang baru ditubuhkan tidak dapat turun padang untuk bertemu rakyat.

Bagaimanapun, katanya, di sebalik cabaran yang dihadapi, kerajaan GRS terus komited menjalankan tugasnya untuk melakar laluan ke arah kemajuan Sabah demi kepentingan rakyat melalui penggubalan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang berteraskan Akujanji GRS dan manifesto pilihan raya pada PRN lalu.

“Terdapat lebih 500 inisiatif dalam Halatuju SMJ 1.0 yang mana sekretariatnya diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri dan dibantu Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN),” katanya.

Menerusi SMJ, Hajiji berkata jerajaan negeri sudah melakar beberapa pencapaian penting seperti mendapat bayaran tahunan lima peratus Cukai Jualan Negeri ke atas petroleum daripada PETRONAS, pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS, menarik pelabur utama ke Sabah dan memperolehi pendapatan terbesar sepanjang tahun lalu sebanyak RM5.3 bilion.

Sementara itu, Hajiji berkata beliau akan meneliti resolusi yang dikemukakan pada program pemukiman ADUN GRS itu untuk diberikan pertimbangan.

“Jika tabung dan hasil negeri kita terus bertambah baik, insyaAllah kita akan menambah peruntukan ADUN (daripada RM2 juta) kepada RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata, satu kertas Kabinet juga dijangka dibentangkan oleh Kementerian Kewangan negeri dalam masa terdekat bagi meningkatkan elaun wakil rakyat negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|