Halang cubaan seludup minyak petrol bersubsidi

Halang cubaan seludup minyak petrol bersubsidi

Semporna: Tindakan pemantaun berterusan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan daerah ini, berjaya menghalang satu lagi cubaan menyeludup minyak petrol bersubsidi, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, PPM berjaya merampas beberapa jerikin berisi minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM5,793.75 berdasarkan harga pasaran semasa.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, kegiatan berkenaan berjaya dikesan hasil rondaan di sekitar Pulau Gaya, di sini.

Katanya, pasukan operasi menemui sebuah bot yang sarat dengan muatan minyak petrol yang disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Pasukan operasi terus bertindak mengejar dan menahan bot berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemukan beberapa jerikin berisi minyak petrol,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohamad berkata, semua minyak petrol berkenaan terus dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah empat Sabah di nombor 013-9391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan berhubung terus ke mana-mana balai polis berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|