Covid-19 Sabah: Varian Omicron mungkin punca kes naik mendadak

Covid-19 Sabah: Varian Omicron mungkin punca kes naik mendadak

Kota Kinabalu: Penularan varian Omicron mungkin antara punca kenaikan mendadak kes Covid-19 di Sabah hingga kembali mencecah empat angka sejak semalam.

Bagaimanapun, jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata perkara itu masih menunggu pengesahan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Tertakluk kepada pengesahan JKNS, jumlah kes baharu yang melambung tinggi sejak seminggu ini berkemungkinan juga disebabkan oleh Omicron, varian yang lebih cepat merebak walaupun gejala jangkitan lebih ringan daripada varian lain.

“Kadar perebakan Varian B2 Omicron yang menjadi varian dominan di negara jiran Filipina adalah 1.8 lebih cepat daripada varian biasa. Varian yang sama juga mengakibatkan peningkatan kes yang tinggi di Singapura dan di banyak negara di dunia,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Jangkitan baharu Covid-19 di Sabah terus meningkat dengan sebanyak 1,285 kes baharu lagi direkodkan hari ini, naik 80 kes berbanding 1,205 kes semalam.

Masidi berkata, pertambahan kes harian yang tinggi ketika ini juga dipercayai berpunca daripada virus itu yang sudah bertapak secara meluas dalam komuniti dan menyebabkan ia merebak dengan cepat.

“Sebanyak 47.55 peratus jangkitan baharu hari ini berlaku secara sporadik dan hanya disedari apabila pesakit mengalami gejala jangkitan Covid-19.

“Inilah kategori pesakit yang diperolehi melalui saringan bergejala. Jumlah kategori ini lebih tinggi daripada jumlah pesakit yang menjadi kontak rapat kepada kes indeks (45.37 peratus),” katanya.

Katanya, pemerhatian turut mendapati peratusan kes melalui saringan bergejala adalah tinggi di kawasan bandar, contohnya hampir 50 peratus daripada kes baharu di Kota Kinabalu.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata faktor lain yang menyumbang kepada jumlah kes yang tinggi ialah sikap cuai atau ‘tidak peduli’ segelintir masyarakat terhadap keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sama ada ketika berkumpul dengan kawan atau berada di khalayak ramai.

“Sebagai misalan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal sudah semakin longgar. Sikap cuai ini memudahkan jangkitan dan seterusnya menambah bilangan pesakit baharu,” katanya.

Masidi berkata, empat daerah mencatat kes tiga angka hari ini dengan Kota Kinabalu melepasi paras angka 300 iaitu 309 (kes), diikuti Sandakan (201 kes), Tuaran (150 kes) dan Penampang (108 kes).

Katanya, sebanyak 14 daerah lain mencatat kes dua angka, enam daerah dengan satu angka dan hanya tiga daerah tidak mencatatkan sebarang jangkitan baru.

“Sebanyak 1,276 daripada 1,285 kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2. Terdapat lima kes dalam Kategori 3, tiga kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 6 Februari 2022
Sabah 1,285 (1,205)

Kota Kinabalu 309 (213)
Sandakan 201 (230)
Tuaran 150 (113)
Penampang 108 (113)
Papar 79 (84)
Tawau 78 (52)
Lahad Datu 56 (53)
Putatan 36 (23)
Kuala Penyu 34 (14)
Ranau 34 (55)
Kunak 34 (17)
Kota Marudu 33 (74)
Beaufort 19 (62)
Kota Belud 19 (33)
Tambunan 18 (1)
Keningau 18 (12)
Kudat 13 (9)
Tenom 10 (3)
Semporna 9 (10)
Kinabatangan 8 (6)
Beluran 7 (4)
Telupid 6 (8)
Sipitang 3 (11)
Pitas 3(1)
Nabawan 0 (3)
Tongod 0 (1)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 5 Februari 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|