Lima mangsa banjir di Pitas dipindahkan

Lima mangsa banjir di Pitas dipindahkan

Kota Marudu: Seramai lima penduduk Kampung Tombilidon, Pitas, di sini, terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, operasi pemindahan dijalankan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia selepas menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung berkenaan.

Lima penduduk di Kampung Tombilidon, Pitas dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Pekan Pitas 2. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.39 pagi.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dan bot dikerahkan bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu.

Pasukan bomba membantu memindahkan lima penduduk di Kampung Tombilidon, Pitas. Pix Ihsan Bomba

“Pasukan bomba terus bertindak memindahkan lima mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas 2, di sini.

“Setakat ini, hanya satu PPS dibuka dan pihak bomba juga akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba juga masih berada di lokasi untuk bersiap sedia menjalankan kerja-kerja memindahkan mangsa.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|