Hujan lebat, beberapa kawasan di Kudat dinaiki air

Hujan lebat, beberapa kawasan di Kudat dinaiki air

Kudat: Beberapa kawasan di pusat bandar daerah ini dinaiki air selepas hujan lebat melanda, sejak tengah malam tadi.

Hujan lebat dilaporkan bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam, namun sehingga kini, tiada sebarang pemindahan mangsa banjir dijalankan.

Jalan utama ke bandar Kudat dinaiki air selepas hujan lebat sejak tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas berkata, antara kawasan yang terjejas dinaiki air adalah laluan utama ke Pekan Kudat.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada sebarang panggilan kecemasan diterima untuk operasi pemindahan mangsa banjir.

Beberapa laluan turut terjejas akibat banjir, namun masih boleh dilalui kenderaan.

“Pasukan operasi bomba akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa namun setakat ini keadaan masih terkawal.

“Pada masa sama, kita turut menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang di empat lokasi berasingan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba dan penyelamat menjalankan operasi membersihkan pokok tumbang.

Ishak berkata, empat lokasi pokok tumbang yang dilaporkan adalah di Jalan Pinangso, Jalan Atas Kudat, persimpangan masuk Jabatan Penerangan Kudat dan Jalan Kampung Buang, di sini.

Katanya, pemantauan akan terus dijalankan dan sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|