Srikandi BERSATU Sabah kemuka empat calon wanita untuk PRU-15

Srikandi BERSATU Sabah kemuka empat calon wanita untuk PRU-15

Kota Kinabalu: Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun memaklumkan pihaknya sudah mengemukakan empat nama calon wanita untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, nama keempat-empat calon muka baharu itu sudah dikemukakan kepada pimpinan tertinggi parti negeri dan Pusat.

Katanya, sejak dahulu lagi beliau sering menyuarakan tuntutan untuk menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita untuk bertanding dalam PRU.

“Tetapi kadang kala kita kena realistik kerana ada sebahagian tempat kita ada calon yang berpotensi tetapi jika kerusi itu milik orang lain, jadi kita terpaksa (lepaskan), mana boleh kita ambil orang punya.

“Tetapi, sekurang-kurangnya kita mahu kemukakan empat orang calon. Sudah ada calon tetapi kita tidak boleh umumkan dulu. Nama merekapun sudah kita kemuka kepada kepimpinan parti negeri dan kepada Srikandi Malaysia pun kita sudah bagi,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung calon yang akan diketengahkan Srikandi BERSATU Sabah untuk PRU akan datang.

Tambah beliau lagi, empat calon yang dicadangkan itu juga sudah dikenali ramai di peringkat akar umbi di negeri ini namun dalam masa sama mereka perlu terus bekerja keras untuk rakyat.

“Semua calon memang ada potensi dan buat kerja di bawah supaya mereka boleh diterima rakyat namun mereka ini sebenarnya memang sudah dikenalipun kerana mereka bekerja di bawah sentiasa,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Beaufort menegaskan akan mempertahankan kerusi berkenaan untuk BERSATU.

“Sebagai orang parti mesti kita mahu mempertahankan kerusi kita tidak kira siapa yang bertanding, saya atau sesiapa saja itu soal lain.

“Yang penting, sekarang ini kerusi itu mesti kita pertahankan. Siapapun boleh kata itu kami punya, tetapi rakyat pun berubah juga,” katanya.

Kerusi Parlimen Beaufort yang disandangnya kini dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 namun beliau kemudian menyertai BERSATU sekali gus menjadikan kerusi itu adalah milik parti berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|