Laporan polis dibuat nafi dakwaan cubaan culik murid prasekolah

Laporan polis dibuat nafi dakwaan cubaan culik murid prasekolah

Tawau: Satu laporan polis dibuat bagi menafikan kejadian cubaan menculik murid prasekolah seperti yang tular di aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, laporan polis itu dibuat oleh pengawal keselamatan sekolah berkenaan pada jam 3.26 petang tadi.

Katanya, laporan itu sekali gus menjawab pelbagai persoalan yang timbul berkaitan isu berkenaan yang mengusarkan masyarakat awam.

“Berdasarkan kenyataan tular sebelum ini, polis mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perjumpaan bersama pihak sekolah, ibu bapa serta murid yang dikatakan terbabit untuk mengetahui kejadian sebenar yang berlaku.

“Bagaimanapun, hasil daripada laporan yang diterima daripada pengawal keselamatan hari ini, ia terus menafikan kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Jasmin berkata, pihak polis ingin mengingatkan masyarakat untuk tidak mudah mempercayai apa yang dibaca di media sosial.

“Semak kesahihan maklumat berkenaan sebelum membuat sebarang kesimpulan serta pandangan mengenai isu berkenaan,” jelasnya.

Terdahulu, kenyataan yang tular mendakwa, penculik cuba mengumpan dengan memberi gula-gula serta wang kepada mangsa.

Bagaimanapun cubaan berkenaan gagal selepas disedari seorang ustaz dan pengawal keselamatan sekolah yang bertindak menjerit ke arah penculik terbabit.

Laporan itu mendakwa, penculik terus meninggalkan mangsa dan menaiki sebuah kenderaan proton saga aeroback berwarna putih.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|