‘Kerana mulut badan binasa’- isu pelajar sekolah bergaduh di Sandakan

Sandakan: Bermula dengan gurauan biasa tetapi akhirnya ‘panas’, itu punca pergaduhan membabitkan pelajar sekolah di daerah ini sebelum 17 remaja berkenaan ditahan polis pada 25 Mei lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihak polis berjaya mengesan 17 pelajar yang terlibat dalam kejadian itu dan semuanya telah pun dipanggil untuk diambil keterangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah (IPD) Sandakan, Superintendan Mohd Hamizi Halim.

“Pergaduhan ini cerita budak-budak, mulut ke mulut sehingga boleh menjadi panas. Itu saja sebenarnya.

“Mula-mula ia hanya gurauan biasa tetapi apabila memuncak sehingga ia menyebabkan ada perkara sensitif, itu saja. Kerana mulut badan binasa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan semasa punca pergaduhan membabitkan pelajar sekolah di daerah ini sehingga tular di media sosial pada 24 Mei lalu.

Sebelum itu, video berdurasi 21 saat itu memaparkan sekumpulan pelajar bergaduh di Jalan Elopura, Bandar Sandakan, dan akibat kejadian itu menyebabkan semua pelajar yang terlibat berjaya dikesan pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Hamizi turut memaklumkan kejayaan pihaknya menumpaskan lima suspek lelaki disyaki terlibat dalam kes curi kabel di sekitar Bandar Ramai-Ramai.

Katanya, sepasukan polis berjaya menahan lima suspek berusia antara 20 hingga 45 tahun membabitkan tiga warga tempatan dan dua warga asing di Kampung Kombo pada 25 Mei lalu.

“Hasil siasatan berjaya merampas dua gulung kabel yang masih lengkap bersalut dan satu lagi sudah dikupas dan diproses untuk tujuan dipasarkan.

“Kabel-kabel ini digunakan dalam pendawaian elektrik bagaimanapun dipercayai bukan milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sebaliknya milik kontraktor namun kita akan panggil juga SESB untuk mengesahkannya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|