Langgar syarat lesen, bot nelayan ditahan

Kota Kinabalu: Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi di perairan Pulau Gaya, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot nelayan berkenaan ditahan KM Bistari di sekitar 8.2 batu nautika timur laut Pulau Gaya.

Bot nelayan berkenaan ditahan selepas didapati melanggar syarat lesen dalam operasi di perairan Pulau Gaya.

Katanya, ia ditahan selepas didapati melanggar syarat sah lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Sabah.

“Bot terbabit didapati beroperasi dengan kru melebihi daripada yang dibenarkan iaitu seramai 12 orang saja.

“Semasa pemeriksaan dijalankan dilokasi, pasukan menggeledah mendapati seramai 16 orang di atas bot terbabit termasuk tekong,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, selain itu, tiga daripada individu di atas bot berkenaan turut disyaki warga negara asing.

Katanya, ketiga-tiga individu berusia 20 hingga 33 tahun terbabit turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“bot dan kru seterusnya ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Sepanggar, Kota Kinabalu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Tekong dan kru bot disyaki melakukan kesalahan mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, segala aduan dan laporan mengenai salah laku jenayah laut orang ramai boleh melaporkan kepada Maritim Malaysia.

Katanya, laporan boleh dibuat melalui talian telefon ke Bilik Operasi Maritim Negeri Sabah dan Labuan ditalian 088-387774.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|