Polis Sandakan berjaya selesaikan 14 kes jenayah Mei hingga awal Jun

Sandakan: Polis Sandakan berjaya menyelesaikan 14 kes jenayah di sekitar daerah ini sejak Mei lalu hingga awal Jun dengan nilai rampasan sebanyak RM80,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kejayaan tangkapan kes jenayah di daerah itu hasil daripada siasatan secara komprehensif yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Katanya, antara kes jenayah yang dilaporkan di daerah ini termasuk kes bunuh, pecah rumah, curi kenderaan dan kes gaduh melibatkan pelajar sekolah sehingga tular di media sosial baru-baru ini.

“Menerusi beberapa siri tangkapan itu, kita berjaya menyelesaikan 14 daripada 24 kes yang dilaporkan dan turut berjaya merampas 41 unit barangan curi, tiga kenderaan serta sebuah motosikal.

“Jumlah keseluruhan kerugian bagi 24 kes yang dilaporkan ialah dianggarkan sebanyak RM180,000 manakala pihak polis turut berjaya merampas semula barang kes yang dianggarkan RM80,000,” katanya dalam sidang media di IPD Sandakan, di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, seramai 27 individu berusia antara 15 hingga 45 tahun turut ditahan disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati enam daripadanya adalah warga asing dan tujuh suspek positif dalam aktiviti penggunaan dadah,” katanya.

Sebelum itu, Mohd Hamizi memaklumkan berlaku sedikit peningkatan jenayah indeks di daerah ini bagi tempoh Januari hingga awal Jun tahun ini iaitu sebanyak 28 kes atau 11.97 peratus berbanding tahun lalu bagi tempoh yang sama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|