J-KOM nadi perhubungan antara kerajaan dan rakyat – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dapat memainkan peranan dalam usaha merapatkan hubungan rakyat dengan kerajaan sejajar fungsinya sebagai jambatan yang menjadi nadi perhubungan di antara kerajaan dan rakyat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia sesuai dengan matlamat J-KOM bagi mewujudkan komunikasi dua hala di antara kerajaan dan rakyat dalam menyampaikan maklumat kerajaan secara tepat, sahih dan bijaksana, selain mendengar suara dan maklum balas daripada rakyat.

Bung Moktar menerima cenderamata daripada Dr Zuraidi.

“Pada zaman kemajuan teknologi maklumat ini kita tidak dapat lari daripada pelbagai isu dan propaganda yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sama ada di media sosial, portal dan lain lain media dalam talian yang sengaja memutar belit fakta.

“Jika tidak dibendung ianya boleh merosakkan pemikiran rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat rombongan J-KOM Pusat di pejabat beliau, di sini, pagi tadi.

Bung Moktar berbincang bersama Dr Zuraidi dan pegawai kanan J-KOM.

Rombongan yang diketuai oleh Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Zuraidi Ishak itu turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Komunkasi komuniti), Dr Al Azharri Siddiq Kamunri; Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Arfizan Ramli; Ketua Unit Perhubungan Awam, Siti Mahmudah Sudiman dan Pegawai Khas Ketua Pengarah / Pengarah Pendidikan JKOM, Zulkifli Othman.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, kaedah yang digunakan J-KOM iaitu dengan cara membangunkan komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna serta fokus patriotisme melalui pendekatan ‘penghakupayaan komuniti’ memang bertepatan dengan situasi masa kini.

“Selain menyalurkan maklumat daripada kerajaan kepada rakyat, kita juga berharap J-KOM dapat menyampaikan maklumat daripada akar umbi mengenai isu semasa terutamanya dalam aspek pembangunan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Bung Moktar juga memaklumkan berdasarkan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Ketua Pengarah J-KOM pada perjumpaan berkenaan, fungsi jabatan berkenaan berbeza dengan Jabatan Penerangan.

Jelasnya, fungsi J-KOM juga tidak bertindih dengan agensi lain di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang mempunyai kumpulan sasar, pendekatan program dan aktiviti berlainan.

Beliay juga menangkis dakwaan pihak pembangkang yang mengatakan J-KOM sebagai ejen penyebar propaganda dipergunakan untuk kepentingan politik.

“Ini hanya persepsi mereka (pembangkang) kerana perlu diingat Ketua Pengarah, timbalan dan pegawainya yang lain bukanlah dilantik daripada kalangan orang politik.

“Proses lantikan adalah mengikut Jabatan Perkhidamatan Awam (JPA) yang dikombinasi golongan profesional dan pegawai takbir yang baik dan bersahsiah tinggi,” katanya.

Pada perjumpaan berkenaan, Dr Zuraidi memaklumkan J-KOM akan membuka pejabatnya di Sabah dengan keutamaan diberikan kepada anak-anak Sabah berkelayakan sebagai pengarah selain menempatkan pegawai J-KOM di seluruh negeri mengikut kawasan Parlimen.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|