Kanak-kanak dua tahun hilang ditemui lemas

Kanak-kanak dua tahun hilang ditemui lemas

Tambunan: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang malam tadi, di Kampung Sungai Zon Kumareling, di sini, ditemui lemas, hari ini.

Kanak-kanak berusia dua tahun itu ditemui orang awam, kira-kira tiga kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Mayat kanak-kanak terbabit dibawa keluar daripada sungai sebelum diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman penemuan berkenaan pada jam 10.05 pagi.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) yang sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus bergegas ke lokasi mangsa ditemui.

“Mangsa ditemui orang awam pada jarak kira-kira tiga kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 pagi.

Dalam kejadian petang semalam, mangsa dikhuatiri lemas selepas ibunya menemui selipar mangsa di tepi sungai di belakang rumah mereka.

Pasukan Bomba yang menerima laporan terus bergegas ke lokasi untuk mendapatkan maklumat sebelum menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|