Penunggang motosikal maut, bergesel dengan kereta rakan

Penunggang motosikal maut, bergesel dengan kereta rakan

Kota Kinabalu: Seorang penunggang motosikal maut selepas bergesel dengan sebuah kenderaan dalam kejadian di Jalan Kepayan berhampiran lampu isyarat Pahlawan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa Muhammad Taip Rahim, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Lokasi kejadian membabitkan kemalangan motosikal dan sebuah kereta Perodua Viva di Jalan Kepayan, berhampiran lampu isyarat Pahlawan, Kota Kinabalu.

Difahamkan, pemandu kereta Perodua Viva dan penunggang motosikal Yamaha Y15 berkenalan dan mereka sedang dalam perjalanan untuk melihat sebuah kenderaan yang ingin dibeli.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo Ak Hang berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dan pemandu kenderaan berusia 34 tahun bergerak dari Kota Kinabalu menghala ke Kampung Dumpil Putatan.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kenderaan menukar laluan dari lorong kiri ke lorong paling kanan.

“Penunggang motosikal yang berada di lorong tengah juga cuba menukar ke lorong paling kanan sebelum berlaku penggeseran sehingga menyebabkan mangsa terbabas dan merempuh pembahagi tengah jalan.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 8.25 malam,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa tidak disyaki mabuk namun, sampel darah akan diambil semasa bedah siasat dijalankan.

Katanya, begitu juga sampel darah pemandu kenderaan yang akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis alkohol dan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi-saksi yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan polis,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|