Pelancong rakam kehadiran jerung mako di perairan Pulau Mabul

Pelancong rakam kehadiran jerung mako di perairan Pulau Mabul

Semporna: Jerung mako sirip pendek, antara spesies ikan yu bersaiz besar dan disenarai antara haiwan terancam di bawah Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) ditemui muncul di perairan Pulau Mabul, di sini, baru-baru ini.

Kelibat jerung yang boleh mencapai saiz sepanjang empat meter itu berjaya dirakam pelancong yang kebetulan berada di perairan pulau berkenaan pada hujung tahun lalu sebelum ia tular di media sosial.

Rakaman penemuan jerung mako sirip pendek oleh seorang pelancong, Sylvian Kok di perairan Pulau Mabul, Semporna.

Penemuan jerung berkenaan di luar habitat yang menjadi kebiasaannya sudah pasti menjadi satu pengalaman yang menarik atau mungkin juga sesuatu yang menakutkan.

Perkara itulah yang mungkin dilalui seorang pelancong tempatan, Sylvian Kok dan rakannya apabila ternampak jerung berkenaan berenang di tepi bot mereka berhampiran Mabul Water Bungalow.

Menerusi satu kenyataan, Pengurus Konservasi Scuba Junkie SEAS, Cat McCann yang melaksanakan aktiviti pemuliharaan berpangkalan di Pulau Mabul, berkata kelibat jerung berkenaan dirakam sedang mendekati bangkai seekor ikan layaran yang terapung di permukaan laut.

Menariknya, lokasi jerung berkenaan ditemui adalah di kawasan perairan cetek, berbeza dengan kebiasaan spesies berkenaan yang memilih kawasan lautan terbuka.

“Video yang dirakam Sylvian Kok itu kemudian dimuat naik dalam media sosial sebelum menerima banyak reaksi yang berkongsi keterujaan dirasai Sylvian selepas video berkenaan viral.

“Jerung berkenaan dikenal pasti sebagai jerung mako sirip pendek (Isurus oxyrinchus), berdasarkan saiz sirip pektoral dan bentuk muncungnya.

“Spesies ini diketahui mampu melompat keluar ke permukaan air sehingga setinggi 20 kaki atau hampir lima meter dan boleh berenang hingga mencapai kelajuan lebih 70 kilometer sejam dalam tempoh yang singkat,” katanya.

McCann berkata, penemuan jerung berkenaan menjadi satu lagi petanda kewujudan biodiversiti marin yang mengkagumkan di Sabah, khususnya di Semporna.

Jelasnya, keterujaan melihat kemunculan jerung berkenaan bukan hanya dirasai oleh Sylvian, memandangkan ramai pelancong datang ke Semporna untuk menyelam bersama jerung.

“Satu kajian yang dilakukan oleh Dr Johanna Zimmerhackel dari Institut Sains Marin Australia mengenal pasti aktiviti pelancongan menyelam bersama jerung memberi pulangan sehingga USD16.6 juta (RM69.76 juta) kepada Semporna pada 2018,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|