Dua aktiviti jenayah laut dipatahkan

Dua aktiviti jenayah laut dipatahkan

Semporna: Sanggup terjun laut untuk meloloskan diri. Itu tindakan berani dua penjenayah yang berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) hasil operasi berterusan yang dijalankan di sekitar perairan daerah ini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, kes pertama dikesan membabitkan kegiatan bom ikan.

Katanya, pasukan operasi yang menjalankan rondaan mengesan sebuah perahu dalam keadaan mencurigakan di kawasan laut Kampung Hidayat, di sini.

“Bagaimanapun, sebaik cuba menghampiri sebuah perahu berkenaan, suspek bertindak agresif dan melarikan diri dengan memecut ke kawasan air cetek.

“Suspek kemudiannya terus bertindak terjun dari perahu dan melarikan diri ke Kampung Hidayat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap perahu yang ditinggalkan menemui kira-kira 200 kilogram ikan yang dipercayai ditangkap dengan menggunakan bahan letupan.

Katanya, rampasan membabitkan kes ini dianggarkan bernilai RM19,450 berdasarkan harga pasaran semasa.

Sementara itu, dalam kes berasingan, dua lelaki turut nekad terjun ke laut untuk melarikan diri selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di sekitar laut Pulau Sisipan, di sini.

Mohammad berkata, ketika memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, kedua suspek bertindak agresif dan melarikan diri dengan memecut perahu ke kawasan air cetek.

“Mereka seterusnya bertindak terjun dari perahu dan melarikan diri ke Pulau Sisipan. Rampasan kali ini membabitkan minyak masak yang dianggarkan bernilai RM34,240,”katanya.

Sehubungan itu, Mohammad berkata, semua ikan, minyak masak serta tiga perahu berkenaan terus dibawa balik ke markas PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perikanan 1985.

“PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|