Kanak-kanak dua tahun dikhuatiri lemas

Kanak-kanak dua tahun dikhuatiri lemas

Tambunan: Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang dalam kejadian di Kampung Sungai Zon Kumareling, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, kanak-kanak berusia dua tahun itu dipercayai lemas selepas ibunya menemui selipar mangsa di tepi sungai di belakang rumah mereka.

Pasukan bomba menjalankan operasi mencari di kawasan sungai berikutan penemuan selipar di tepi sungai oleh ibu mangsa. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.53 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai bersama pacuan empat roda JBPM dikerah ke lokasi kejadian.

Operasi mencari di kawasan sungai berikutan penemuan selipar di tepi sungai oleh ibu mangsa.

“Pasukan Bomba bergegas ke lokasi untuk mendapatkan maklumat sebelum menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Menerusi maklumat awal, mangsa adalah Mohammad Syaril yang berusia dua tahun. Mangsa dipercayai hilang di sungai berdasarkan kepada penemuan selipar mangsa di tepi sungai,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, maklumat berhubung keadaan operasi mencari kanak-kanak terbabit dikemaskini dari semasa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|