Kota Belud: Sayap Armada dan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kota Belud perlu berganding bahu mendekati golongan muda sebagai usaha untuk mendengar pendapat serta pandangan mereka dalam menentukan dasar kerajaan.
Ketua Bahagian BERSATU Kota Belud, Datuk Japlin Akim, berkata langkah berkenaan perlu memandangkan golongan muda atau generasi Y adalah pelapis kepada kepimpinan negara pada masa hadapan.
Beliau berkata, tidak dinafikan suara serta pandangan generasi Y amat memainkan peranan penting dalam menentukan kelangsungan hidup Perikatan Nasional (PN) pada masa akan datang.
“Kita perlu mengambil inisiatif untuk mendekati generasi Y ini memandangkan mereka ini adalah golongan yang mudah terpengaruh dengan maklumat di media sosial tanpa soal selidik.
“Oleh itu, Armada dan Srikandi perlu memainkan peranan penting untuk mendengar pendapat serta pandangan menarik generasi muda sekali gus menepis segala tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Free Fire Terbuka Kota Belud di Kuala Abai di sini semalam.
Pertandingan Free Fire terbuka Kota Belud itu dianjurkan Persatuan Belia Kuala Abai Kota Belud.
Sebanyak 75 kumpulan dengan setiap kumpulan disertai empat orang menyertai pertandingan itu.
-Deasoka