Jumlah mangsa banjir di Sabah sedikit menurun

Jumlah mangsa banjir di Sabah sedikit menurun

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir di Sabah mencatat sedikit penurunan iaitu daripada 3,329 mangsa kepada 3,310 mangsa hari ini.

Penurunan itu berikutan ada mangsa banjir kini sudah dibenarkan pulang dibeberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Sabah.

Menurut kemas kini laporan daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) terdapat 30 PPS masih aktif bagi menempatkan 1,316 ketua isi rumah dari enam daerah.

Kota Marudu masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,653 mangsa terdiri daripada 1,113 KIR, manakala Pitas merekodkan 296 penduduk membabitkan 123 keluarga yang berada di empat PPS.

Seramai 172 mangsa daripada 38 keluarga pula dicatatkan di Telupid yang masih berada di tujuh PPS dan seramai 102 orang penduduk terdiri daripada 24 keluarga masih berada di tiga PPS di Paitan.

Dua daerah lain kekal merekodkan mangsa banjir iaitu Sandakan dengan seramai 46 mangsa melibatkan tujuh keluarga di satu PPS manakala di Beluran 41 mangsa daripada 11 keluarga yang masih berada dua PPS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|