Sandakan: Seorang lelaki yang cuba terjun dari beranda dapur rumah di Bandar Ramai-Ramai, Jalan Leila, di sini, membatalkan niat selepas berjaya dipujuk isterinya, malam tadi.
Dalam kejadian 7.30 malam itu, mangsa berusia 30-an yang berada ditingkat tiga bangunan berkenaan ditenangkan sebaik berjaya ditarik masuk semula ke dalam rumah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.37 malam.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lelaki terbabit didapati masih berada di beranda dapur dan cuba dipujuk ahli keluarga iaitu isteri mangsa sendiri.
“Dalam masa yang sama, pasukan bomba berjaya masuk ke dalam rumah dan bertindak menarik mangsa dan ditenangkan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki akibat terpijak serpihan kaca turut diberikan rawatan awal.
“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.46 malam,” katanya.
-Deasoka