Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) amat memandang serius berhubung insiden melanggar dan merosakkan kenderaannya yang dilaporkan berlaku di Keningau, Sabah, semalam.
Malah satu laporan polis juga sudah dibuat untuk tindakan selanjutnya membabitkan kesalahan bersifat ugutan dan mengganggu penjawat awam melaksanakan tugasan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, berdasarkan laporan, kejadian dikesan sepasukan anggota JPJ yang sedang melakukan rondaan di sekitar Jalan Kepayan Magatang, Keningau.
Katanya, kenderaan jenis ‘backhoe’ itu kemudiannya dilihat dalam keadaan mencurigakan dan dipandu secara berbahaya sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
“Sebaik ditahan, pasukan operasi mendapati pemandu kenderaan berkenaan tidak mempunyai memandu yang sah iaitu lesen F.
“Pasukan JPJ terus mengeluarkan notis saman atas kesalahan berkenaan ,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pemandu kenderaan terbabit bagaimanapun tiba-tiba berang dan terus merempuh serta merosakkan kenderaan JPJ.
Katanya, pemandu turut melakukan provokasi melampau untuk melanggar anggota JPJ di lokasi kejadian.
“JPJ akan menunggu hasil siasatan yang dilaksanakan pasukan polis sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.
-Deasoka