Lahad Datu: Seorang kelindan lori tiga tan maut selepas kenderaan dinaikinya bertembung dengan sebuah lagi lori tangki dalam kejadian di Jalan Segama, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa Muhamad Raziq Ikhwan, 19, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan serius.
Manakala pemandu lori tiga tan berkenaan turut mengalami kecederaan parah dan kini ditempatkan di Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.21 pagi.
Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan operasi terus memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum dihantar ke hospital menggunakan
Ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Manakala seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pemandu lori tangki yang berusia 42 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan
“Pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.49 pagi.
-Deasoka