Jom tengok ‘langit’ melalui Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah 2022

Sandakan: Warga Sandakan, Lahad Datu dan Tawau berpeluang untuk melihat ‘langit’ menerusi Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah 2022 yang diadakan bermula hari ini sehingga 8 Jun depan.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dan Planetarium Negara itu dilancarkan di daerah ini yang diadakan sehingga lusa manakala di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu pada 4 hingga 5 Jun dan di Dewan Masyarakat Tawau di Tawau pada 7 hingga 8 Jun.

Yakub pada majlis pelancaran Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah 2022 di Dewan Masyarakat Sandakan.

Menteri KSTI, Datuk Yakub Khan berkata, program itu selari dengan objektif untuk memperkasa komuniti dalam bidang sains melalui pendedahan kepada masyarakat setempat di negeri ini.

Katanya, ia juga sejajar dengan usaha untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan dan peranan bidang sains dan angkasa di kalangan masyarakat Sabah khususnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba turut hadir pada majlis tersebut.

“Menerusi kerjasama ini Planetarium Negara telah mengambil inisiatif melaksanakan program berkenaan yang dilihat bertepatan dengan objektifnya dalam memperkasakan komuniti dalam bidang sains.

“Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah 2022 ini merupakan satu platform yang dapat merangsang minat dalam ilmu astronomi terutamanya di kalangan generasi muda, dengan menyediakan dasar yang kuat, sebagai rujukan kepada kajian ilmiah, dan manfaat kepada teknologi astronomi, ” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah di Dewan Masyarakat Sandakan, hari ini.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba.

Tambah Yakub lagi, astronomi adalah kajian tentang segala-galanya yang beredar di alam semesta di luar atmosfera bumi.

“Ini termasuklah planet dalam sistem suria, bintang dan matahari. Dengan ilmu astronomi, kita boleh mempelajari serta menghayati dengan lebih mendalam, menggunakan teleskop dan instrumen saintifik lain pada jasad cakerawala yang menghasilkan fenomena-fenomena luar atmosfera bumi,”

Yakub dalam pada itu turut mengakui bahawa ilmu astronomi kurang mendapat perhatian sebelum ini.

“Namun, kebelakangan ini, minat masyarakat terhadap ilmu astronomi mulai meningkat.

“Seiring dengan apresiasi masyarakat dan liputan media tentang pelbagai fenomena alam semesta, Planetarium Negara telah menjadi sumber mempelajari ilmu astronomi yang menginspirasikan betapa perlunya sumber informasi yang boleh memberi kefahaman kepada kita tentang potensi dan fenomena alam ini.

“Bagaimanapun, kerana ketiadaan Planetarium Negara di Sabah maka terilhamlah program Jelajah Astronomi di Pantai Timur Sabah bagi membolehkan masyarakat setempat yang berminat dalam bidang astronomi mengeksplorasi dan melihat semua imej luar angkasa dengan lebih dekat melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan dan peralatan teknologi yang digunakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai yang ingin melihat ‘langit’ datang pada program itu.

“Program ini akan merealisasikan mimpi kita yang takjub dengan keindahan gugusan bintang malam dan ingin melihatnya dengan lebih dekat dan secara langsung,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|